Monday, August 1, 2011

"checkmate" berakhirnya satu percaturan

Masa baru saja perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2014 berakhir buat Malaysia, terasa penuh dan meluap-luap yang hendak dituliskan dari dalam hati ini. Namun kesibukan membatasi dan selera pun kurang, memandangkan yang nak ditulis bukanlah satu perkhabaran indah.

saat-saat harapan bersinar, rembatan padu dari Safee minit ke-57 
Buat pertama kalinya aksi Harimau Malaya tidak ku tonton sampai habis, sebab terasa seram sejuk nak demam! Punyalah takut dan tak sedap hati..psiko betul..rupanya ada jiwa patriotik dalam diri. Sebenarnya lebih kepada sakit jiwa menonton aksi pemain lawan yang sangat-sangat ketara hendak melengahkan permainan. Berapa banyak kali jatuh daaa.. yang tak tahan tu tak bersentuh pun boleh jatuh tak bangun seolah-olah dilibas ribut taufan ataupun terperosok dalam lubang. (boleh la kot kalau nak berlakon tapi tolong nampak asli sikit dan jangan banyak kali sangat ok). Walaupun kemasukan Ahmad Fakri di saat-saat akhir dan malangnya dapat pula kad merah, namun puas hati melihat dia menolak keluar sang kapten pihak lawan yang tersengih sambil melenggang kangkung keluar padang. Aksi paling tak tahan ialah aksi penjaga gol sakit kepala yang berlangsung beberapa episod. (rasanya tak nampak pula ada apa yang berlaku).

Dulu, kita berada pada posisi yang sama ketika membawa bekal 3-0 di Stadium Gelora Bung Karno. Masih sama mahu mempertahankan agregat di samping cuba menambah gol, tetapi tak ada pula adegan tergolek dan diusung keluar dan kemudian masuk balik macam tak ada apa-apa pula. Kalah atau menang itu adat, tetapi mana satu pun biarlah bermaruah. Kalau kalah, biar orang bercakap tentang kehebatan kita mencuba untuk menang dan bukanlah tentang kelemahan kita membiarkan diri tewas. Kalau menang pula biarlah ternyata ketajaman skil dan keserasian pasukan menjadi bualan, bukan cara menang jadi bahan kutukan pula.
kalah bermaruah-perjuangan yang bermati-matian
kecewa dalam kepenatan
Yang indah di mata dan kekal di hati pada malam itu tak lain melihatkan aksi penjaga gol kita yang sangat sibuk, ya dialah yang paling sibuk sebab gawang kita acap kali jadi sasaran termasuk pelbagai percubaan satu lawan satu yang merbahaya, bola dari kaki lawan yang sedang meluncur pun pun masih boleh ditangkapnya. Walaupun bolos satu gol juga akhirnya, dalam kecewa sangat berbangga dengan kesungguhan penjaga gol kita ini.

Desas-desus yang tidak sedap didengar, ada pula bunyi-bunyi mengatakan pemain kita "dibeli" untuk kalah. Aduhh janganlah begitu hendaknya. Anda semua rata-rata masih muda, teruskanlah berjuang untuk negara dengan setulus hati, jangan ada godaan yang meruntuhkan jati diri. Terlihatkan sebuah foto penyerang kita di akhbar yang tidak dapat turun beraksi kerana cedera, sedang duduk sebagai penonton selepas habis perrlawanan tempoh hari dengan muka yang basah kemerahan, terasa terharu. Terasa ada rasa yang tebal dalam dirinya untuk berbakti pada negara.

Apa pun Harimau Malaya, jadikanlah ini satu titik permulaan untuk merenung kembali di mana silapnya. Ke mana perginya taring dan kuku yang merangkul gelaran Jaguh Asia Tenggara. Rata-rata penonton mampu menyatakan di mana silapnya secara kasarnya. Usahlah kita menunding jari kerana nasi dah pun jadi bubur. Tapi tak salah untuk menunding jari sekarang sebelum perlawanan seterusnya nanti. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Perhatian rakyat sudah kembali terarah kepada anda, sang Harimau Malaya kerana kesungguhan dan kemampuan yang telah dibuktikan. Terserahlah kepada anda untuk membawa momentum itu terus tingi sejauh mungkin. Yakin Boleh! (September detik bermulanya saingan skuad Olimpik pula)

Posted Image
         
sumber foto: http://www.harimaumalaya.com/, berita harian online, utusan malaysia online, harian metro online & kosmo online

No comments:

Post a Comment